fb fb fb fb fb

Mbappe mahu susun semula hieraki bola sepak pada aksi akhir Piala Dunia

(FOTO AFP)

DOHA, 17 Disember- Kylian Mbappe boleh menjadi pemain termuda memenangi dua Piala Dunia sejak Pele mencapai kejayaan itu pada usia 21 tahun.

Mbappe, yang berusia 24 tahun dua hari selepas perlawanan akhir kelak, muncul sebagai penjaring terbanyak bersama Lionel Messi dengan lima gol di Piala Dunia kali ini dan disebut sebagai wajah generasi baharu bola sepak.

Piala Dunia terakhir untuk Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, aksi di Qatar pastinya menandakan 'penyerahan baton' daripada dua pemain yang telah mendominasi sukan itu selama hampir dua dekad.

Sementara Messi mempunyai satu peluang terakhir untuk merangkul kejuaraan Piala Dunia, Mbappe dan pasukannya Perancis berharap untuk memulakan era penguasaan bagi sebuah negara yang mara ke final keempat dalam tujuh percubaan.

Walaupun hadir di Qatar dengan skuad yang kurang sempurna akibat kecederaan, ramai yang tidak menjangka skuad kendalian Didier Deschamps itu mampu mara sehingga ke final meski dengan reputasi sebagai juara bertahan.

Begitupun, kejayaan Perancis hari ini sebahagian besarnya berpunca daripada Mbappe, pemain paling digeruni di planet ketika ini.

"Terdapat hubungan yang baik antara pasukan. Kami bekerjasama tetapi, apabila anda mula menghampiri kejuaraan dalam pertandingan ini, anda memerlukan pemain utama anda pada tahap terbaik mereka," kata penjaga gol dan kapten Hugo Lloris.

Mbappe 'mengumumkan kehadirannya' di pentas global pada 2018 dengan dua gol menentang Argentina dalam pusingan 16 terakhir di Rusia, di mana dia memenangi anugerah pemain muda terbaik.

Berusia 19 tahun, dia menjadi pemain termuda yang menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2018, sejak Pele yang berusia 17 tahun pada 1958, dan Mbappe sudah mempunyai lebih banyak gol Piala Dunia berbanding Ronaldo atau Diego Maradona dari Portugal.

Dia menjaringkan empat gol secara keseluruhan dalam edisi 2018, kejohanan besar pertamanya dan meraih gol keempat Perancis dalam kemenangan 4-2 ke atas Croatia pada perlawanan akhir.

Mbappe telah menjaringkan 250 gol dalam 362 perlawanan untuk kelab dan negara, jumlah yang jauh melebihi Messi dan Ronaldo pada usia yang sama.

"Sukar untuk melihat had untuk Kylian. Dia mampu memecahkan semua rekod. Sungguh mengagumkan mempunyai rakan sepasukan seperti dia," kata Lloris.

Tetapi pujian peribadi bukanlah motivasi untuk Mbappe bersama Les Bleus.

“Satu-satunya objektif bagi saya ialah memenangi Piala Dunia,” katanya.

"Itulah yang saya impikan. Saya datang ke sini bukan untuk memenangi Bola Emas. Itu bukan sebab saya di sini. Saya di sini untuk menang dan membantu pasukan kebangsaan Perancis.

"Piala Dunia ini adalah obsesi bagi saya, ia adalah persaingan impian saya."

Perancis tidak kekurangan bakat, tetapi Mbappe berada di tahap yang lain.

Sehinggakan jurulatih Perancis Didier Deschamps telah memberikan Mbappe lesen untuk bebas atau tidak terlalu terikat dengan rejim kem pusa.

Itulah sebabnya Paris Saint-Germain juga sanggup melabur dengan harga yang tinggi untuk mengekalkan Mbappe di kelab itu apabila Real Madrid dilihat berminat untuk mengambilnya.

Mbappe menandatangani kontrak baru selama tiga tahun untuk tinggal di negara asalnya.

Dikatakan, Presiden Emmanuel Macron yang menasihati pemain itu untuk terus kekal di Perancis.

Macron yang hadir pada aksi separuh akhir dengan Maghribi, bercadang untuk sekali lagi menghadiri perlawanan akhir Ahad di Stadium Lusail-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu