(Rakan sepasukan Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe (kanan) dan Lionel Messi (kiri)
dicalonkan untuk anugerah Pemain Terbaik FIFA 2022/AFP)
ZURICH, 11 Februari- Pemenang Piala Dunia Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Karim Benzema diumumkan sebagai tiga finalis untuk anugerah The Best FIFA bagi tahun lalu.
Pemenang dua kali 'Ballon d'Or', Alexia Putellas dari Sepanyol, penyerang England Beth Mead dan bintang AS Alex Morgan dicalonkan untuk kategori wanita.
Bintang Paris Saint-Germain, Messi dan Mbappe, yang bertembung di final Piala Dunia tahun lalu, bersaing dengan Benzema bagi merampas gelaran daripada Robert Lewandowski, yang memenangi anugerah itu pada tahun 2020 dan 2021.
Benzema memenangi anugerah Ballon d'Or tahun lalu susulan persembahannya bersama Real Madrid, tetapi tidak menyertai Perancis ke Piala Dunia akibat kecederaan walaupun namanya tersenarai dalam skuad yang muncul naib juara itu.
Pemain tengah Barcelona dan Sepanyol, Putellas memenangi anugerah wanita kali terakhir dan dicalonkan sekali lagi walaupun diketepikan sejak Julai selepas koyak ligamen anterior cruciate di lutut kirinya.
Penyerang Arsenal, Mead, yang tewas kepada Putellas bagi anugerah Ballon d'Or pada Oktober, juga belum pulih daripada kecederaan lutut.
(Penyerang Perancis dan Real Madrid, Karim Benzema dicalonkan untuk anugerah Pemain
Terbaik FIFA 2022/AFP)
Pemenang akan diumumkan pada 27 Februari di Paris. Mereka akan diundi oleh juri-juri yang terdiri daripada jurulatih dan kapten pasukan kebangsaan, serta wartawan dan peminat.
Turut ditawarkan adalah anugerah jurulatih lelaki dan wanita terbaik, penjaga gol terbaik, dan Anugerah Puskas untuk gol terbaik sepanjang tahun 2022. - AFP