GEORGETOWN, 18 Januari- Penang FC melantik legenda bola sepak Pulau Pinang, Merzagua Abderrazak sebagai Pengarah Teknikal baharu bagi memantapkan persiapan pasukan menjelang saingan musim ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi berkata pelantikan Merzagua yang berkuat kuasa 1 Januari lepas, bertujuan mengembalikan harapan susulan prestasi suram Harimau Kumbang menamatkan saingan Liga Super di tempat ke-10.
Jelas Merzagua, tumpuannya adalah untuk meningkatkan prestasi pemain terutama melibatkan corak permainan pantas
" Setiap jurulatih di dunia terutama jurulatih kebangsaan mencari pemain yang mempunyai kepantasan bagi semua posisi.
Tidak kira pemain tengah mahu pun pertahanan", katanya kepada pemberita pada sesi 'Townhall' bersama penyokong PFC di sini pada Rabu.
Berasal dari Maghribi, bekas pemain berusia 57 tahun dikenali dengan julukan 'Great Merz' oleh penyokong setia Harimau Kumbang.
Merzagua pernah mencipta nama sebagai hero ketika Pulau Pinang meraih kejuaraan Liga Perdana pada 1998, selain dinobatkan pemain import terbaik untuk tiga tahun berturut-turut.