fb fb fb fb fb

Mental perlu kuat harungi cabaran Masters Malaysia, kata Sze Fei - Izzuddin

(FOTO Instagram Nur Izzudin)

KUALA LUMPUR, 5 Julai - Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur dan Izzuddin Rumsani mahu memastikan kekuatan mental mereka berada pada tahap tertinggi ketika mengharungi saingan Masters Malaysia di Axiata Arena di Bukit Jalil, bermula hari ini.

Pasangan ranking ke-12 dunia itu mengakui faktor tersebut yang menyebabkan mereka terlepas peluang merangkul gelaran pada Terbuka Malaysia di venue sama selepas tumpas kepada Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia, di peringkat separuh akhir, kelmarin.

“Kita harus memberi lebih tumpuan terhadap kekuatan mental...kita sudah berbincang dengan jurulatih mengenai situasi kami dan harap kita boleh main lebih baik di Master Malaysia,” kata Sze Fei ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan, di sini.

Sabtu lepas, juara Terbuka Jerman 2022 itu tewas pada separuh akhir Terbuka Malaysia kepada beregu nombor tujuh dunia, Fajar-Muhammad Rian, 14-21, 12-21 dalam pertarungan selama 37 minit.

Pasangan beregu negara itu dijadual berdepan pasangan Indonesia itu pada pusingan pertama Masters Malaysia, hari ini.


(Pasangan beregu negara Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani dijadual berdepan
pasangan Indonesia di pusingan pertama Masters Malaysia hari ini/FOTO Instagram Nur Izzudin)

Nur Izzuddin juga sependapat dengan Sze Fei, sambil mengakui perlu lebih agresif dan tidak terlalu memikirkan prestasi pihak lawan.

Beliau berkata ketika di gelanggang, mereka perlu bekerjasama dan saling membantu bagi memastikan kekuatan mental pasangan berada pada tahap tertinggi.  -BERNAMA 

Media Baharu