PUCHONG, 10 Julai-Malaysia terus memperkasa industri e-sukan tanah air menerusi pelancaran Malaysia Esports Accelerator Programme (MEAP) hari ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli berkata, MEAP adalah bukti komitmen kerajaan dalam menyokong bakat tempatan untuk bersaing di pentas dunia.
"Kalau dulu kita anggap e-sukan sebagai satu hobi, kemudian ia berubah menjadi sebuah komoditi.
"Hari ini e-sukan menjadi sebuah legasi yang besar. Especially bagi industri e-sukan yang mengumpulkan profesional." katanya.
MEAP diperkenalkan sebagai satu program pembangunan bakat e-sukan tempatan yang diterajui oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI) dengan sokongan Malaysia Esports Federation (MESF).
Program ini menyediakan pembangunan holistik merangkumi kemahiran teknikal, persiapan mental dan fizikal para pemain.
MEAP turut memberi tumpuan kepada permainan video lain yang masih belum dipertandingkan secara rasmi di peringkat dunia. Ini termasuk Tekken 8, Street Fighter dan juga Tetris, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai pemain tempatan untuk menyerlah.
Sebanyak sembilan pasukan dan pemain terpilih telah menerima sokongan dana bernilai antara RM5,000 hingga RM40,000 untuk menyertai kejohanan antarabangsa dalam pelbagai kategori permainan.
Antara pasukan terlibat ialah Selangor Red Giants, Homebois, Nova Esports, Alpha Gaming dan Black Shrew Esports.
"Ini adalah fasa pertama, di bawah MEAP ni, untuk pengetahuan secara ringkasnya MEAP adalah projek untuk kita beri bimbingan tambahan sokongan tambahan dan juga menjadi accelerator kepada pasukan-pasukan yang berjaya mewakili negara dalam pertandingan antarabangsa.
"Jadi dia berbeza sedikit, ia bukan lagi peringkat pembangunan, sebaliknya dia adalah pemacu, dan ini adalah salah satu inisiatif di bawah ESI yang terbaru dan ini adalah salah satu komitmen di bawah belanjawan juga sebanyak RM1 juta ringgit yang diumumkan Perdana Menteri untuk pembangunan dan tambahan kepada projek-projek bagi kejohanan-kejohanan e-sukan yang diwakili oleh negara." jelas beliau.
Dana ini turut membantu penyertaan atlet negara ke Esports World Cup 2025 & kejohanan antarabangsa lain seperti eFootball Championship Open di Tokyo, IESF World Esports Championship dan Asia Pacific Motorsport Championship.
Menariknya, program ini turut menampilkan tiga sesi khusus dalam kerjasama dengan agensi kerajaan yang menunujukkan pendekatan bersepadu dalam pembangunan atlet e-sukan negara.
Sesi tersebut termasuk sesi kesihatan mental dengan Institut Sukan Negara, perkongsian pencapaian atlet profesional bersama Majlis Sukan Negara, serta sesi komunikasi dan perhubungan awam bersama jurulatih profesional.