fb fb fb fb fb

MBSF tunggu keputusan anjur Kejohanan Dunia Snuker & Billiard 2022

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Persatuan Snuker dan Billiard Malaysia (MBSF) masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), berhubung hasrat menganjurkan Kejohanan Dunia Snuker & Billiard 2022, September ini.

Presiden MBSF, Melvin Chia berkata keinginan menjadi tuan rumah itu berikutan penarikan diri Qatar yang menyaksikan Persekutuan Billiard dan Snuker Antarabangsa (IBSF) membuka peluang kepada Malaysia untuk menganjurkan kejohanan berprestij berkenaan.

Beliau berkata tawaran menjadi tuan rumah diterima pihaknya kira-kira tiga minggu lepas, sejurus selepas Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam berakhir.

(Presiden MBSF, Melvin Chia)

"Saya sudah hantar surat pada KBS pada minggu ini dan akan buat susulan pada minggu hadapan untuk mendapatkan maklum balas pihak mereka.

"Pada mulanya Qatar tiada apa-apa halangan untuk menganjur (Kejohanan Dunia Snuker & Billiard 2022), tetapi dengan adanya bola sepak Piala Dunia, pada saat akhir mereka tidak mampu menganjurkannya," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Beliau berkata penganjuran kejohanan dunia itu bakal menguji tahap kualiti dan prestasi yang dimiliki atlet negara dengan Malaysia sebelum ini lebih mengungguli acara 6 red.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah bagi kejohanan antarabangsa adalah Camus Malaysian Masters pada 1984 iaitu kejohanan snuker bukan profesional.

Sementara itu Melvin berkata MBSF akan memberikan tumpuan kepada tujuh atlet negara dalam persediaan menghadapi Sukan SEA 2023 di Kemboja.

"Kita memang letak 11 senarai nama, tetapi dalam mesyuarat kita dah keluarkan beberapa nama, jadi kita hanya akan fokus pada tujuh atlet buat masa ini. Namun sebenarnya tidak banyak beza semasa di Hanoi, cuma kita belum pasti berapa acara yang akan dipertandingkan di Kemboja nanti," katanya.

Sebagai rekod, atlet negara Lim Kok Leong meraih pingat emas acara snuker dan billiard 6 red perseorangan lelaki dan membawa pulang perak acara snuker individu lelaki di Sukan SEA ke-31. - BERNAMA

Media Baharu