fb fb fb fb fb

Maverick, Joshua sandang cabaran Malaysia di AAC 2025

Dua pemain muda di bawah Program National Junior Development Program (NJDP) kendalian Persatuan Golf Malaysia (MGA), Maverick Chua dan Joshua Lim dipilih mewakili Malaysia ke Kejohanan Amatur Asia Pasifik (AAC) 2025

KUALA LUMPUR, 21 Oktober- Dua pemain muda di bawah Program National Junior Development Program (NJDP) kendalian Persatuan Golf Malaysia (MGA), Maverick Chua dan Joshua Lim dipilih mewakili Malaysia ke Kejohanan Amatur Asia Pasifik (AAC) 2025.

Kejohanan itu akan berlangsung dari 20 hingga 27 Oktober di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kedua-dua pemain berusia 15 tahun itu kini tersenarai dalam kelompok pemain amatur terbaik dunia menerusi World Amateur Golf Ranking (WAGR) sekali gus membuktikan kemampuan generasi baharu golf negara bersaing di peringkat antarabangsa.

Pengerusi NJDP, Mohd Fauzi Mesran menegaskan kejayaan dua atlet muda itu mencerminkan keberkesanan program pembangunan akar umbi yang digerakkan oleh MGA.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa dengan sokongan berterusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta pihak penaja, impian Malaysia memburu pingat emas Olimpik dalam sukan golf bukan lagi sesuatu yang mustahil.

AAC merupakan kejohanan amatur paling berprestij di rantau Asia Pasifik, menghimpunkan pemain terbaik setiap negara berdasarkan ranking dunia.

Pemenang kejohanan berkenaan akan menerima jemputan automatik ke The Masters Tournament dan The Open Championship.

Penyertaan Maverick dan Joshua, yang berada dalam enam teratas ranking WAGR Malaysia, mencerminkan kebangkitan generasi baharu golf negara di peringkat antarabangsa.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM