KUALA LUMPUR, 21 Oktober- Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita negara, Joel Cornelli menyifatkan undian peringkat kumpulan Sukan SEA 2025 di Thailand sebagai tidak seimbang selepas Malaysia diletakkan bersama pasukan berstatus tinggi dunia.
Cornelli berkata kumpulan Malaysia menampilkan pasukan tangga ke 37, 39 dan 56 dunia, berbanding satu lagi kumpulan yang diisi pasukan ranking jauh lebih rendah seperti Kemboja, Indonesia dan Singapura.
“Ia benar-benar mengejutkan saya tentang pembentukan kumpulan bagi Sukan SEA, kerana satu kumpulan sangat kuat manakala satu lagi kumpulan hanya mempunyai Thailand yang mempunyai kedudukan kelayakan baik. Ia tidak adil, cara kumpulan itu dibentuk,” kata Cornelli kepada pemberita, hari ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan pasukan Malayan Tigress akan tetap berjuang untuk mara ke peringkat separuh akhir dengan persiapan rapi termasuk dari segi teknikal dan mental.
Cornelli turut memaklumkan pasukan kini menjalani kem latihan selama lima hari serta mengatur dua aksi persahabatan menentang Hong Kong, sebahagian daripada persediaan menghadapi temasya dwitahunan itu.
Menurutnya, perlawanan itu penting bagi menilai tahap semasa pemain, memperkukuh sistem taktikal dan memperbaiki prestasi menjelang Sukan SEA 2025.
