KUALA LUMPUR, 21 Mei - Beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menamatkan saingan kejohanan badminton Masters Malaysia 2025 seawal pusingan pertama selepas dikejutkan pasangan Denmark, Mads Vestergaard-Christine Busch di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Turun selaku juara bertahan, pasangan ketiga dunia itu gagal mengekalkan dominasi apabila tunduk dalam pertarungan straight set 18-21, 19-21 kepada beregu ranking ke-20 dunia tersebut dalam tempoh 38 minit.
Shevon, 31, mengakui keputusan itu mengecewakan kerana mereka tidak beraksi dengan konsisten dan stabil sepanjang perlawanan.
“Secara keseluruhan, saya anggap ini sebagai satu pengajaran berguna kerana kami masih dalam proses mendapatkan semula rentak permainan selain sedang mencuba pendekatan taktikal berbeza yang memerlukan masa untuk disesuaikan dalam gelanggang.
“Hari ini kami mencuba tetapi gagal. Saya percaya ini hanyalah permulaan untuk kami mempersembahkan corak permainan lebih pelbagai pada kejohanan akan datang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata kecederaan dialami Soon Huat sebelum ini turut menjejaskan persediaan mereka apabila terpaksa melalui dua minggu latihan yang agak mencabar.
“Keadaan Soon Huat kini semakin baik tetapi kami akan lebih berhati-hati dalam pemilihan kejohanan dengan maksimum tiga kejohanan berturut-turut sahaja,” katanya.
Soon Huat pula memaklumkan kecederaan kaki yang dialami kini menunjukkan perkembangan positif dan sudah mampu melakukan lompatan ketika beraksi.
“Dalam acara beregu campuran pemain lelaki memainkan peranan penting, jadi saya perlu pastikan fizikal berada dalam keadaan terbaik,” jelasnya.
Dalam aksi lain, satu lagi pasangan beregu campuran profesional, Too Ming Yap-Lee Yu Shan gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada gandingan Thailand, Ratchapol Makkasasithorn-Nattamon Laisuan, 9-21, 13-21 dalam masa 23 minit manakala Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien unggul mara ke pusingan kedua selepas mereka menewaskan pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Ornnicha Jongsathapornparn, 22-20, 21-19.
Tien Ci-Chiew Sien akan berdepan pilihan keenam kejohanan Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand selepas mereka menumpaskan Chang Ko Chi-Lin Jhih Yun dari Taiwan, 21-12, 21-13.
Dalam pada itu beregu lelaki, Aaron Tai-Kang Khai Xing menampilkan aksi cemerlang apabila mengejutkan naib juara Terbuka Thailand 2025, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer dari Denmark, 12-21, 21-11, 21-17 untuk mara ke pusingan kedua.
Juara Remaja Dunia 2024 itu mengakui peralihan ke pentas senior menuntut mereka bermain dengan lebih pantas, bertenaga dan berani menukar strategi ketika permainan berlangsung.
“Kami memang ada minta tips daripada senior Aaron Chia untuk kalahkan pasangan Denmark ini dan kami ikut. Kami banyak belajar daripada pemain senior dan saya akan cuba berikan yang terbaik untuk semua peminat terutama keluarga saya dari Kelantan yang hadir memberi sokongan,” kata Khai Xing.
Pasangan muda itu bakal berdepan cabaran getir di pusingan kedua menentang pilihan ketujuh kejohanan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark yang menumpaskan pasangan Taiwan, Ming Che Lu-Tang Kai Wei, 21-10, 21-14.- BERNAMA