Gifu, 21 Mei - Strategi melakukan pemisahan awal (breakaway) membuahkan hasil buat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Aiman Cahyadi, apabila beliau meraih podium di peringkat ketiga Jelajah Jepun.
Aiman menamatkan perlumbaan di tempat kedua, di belakang pemenang Rui Udagawa dari pasukan Aisan Racing Team, manakala Jon Knolle dari Jerman melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.
Peringkat ketiga yang bermula dari Mino ke Kamino sejauh 137.3 kilometer menyaksikan pelumba perlu mengelilingi litar sebanyak enam kali. Laluan tersebut turut mencabar dengan dua zon pendakian setinggi 166 meter seawal kilometer 1.5.
Sejurus perlumbaan bermula, Aiman, Udagawa dan Knolle segera melakukan pemisahan daripada kelompok utama (peloton). Tidak lama kemudian, dua lagi pelumba, Carter Bettles dan Shoma Kazama berjaya menyertai kelompok pendahulu dan mengemudi perlumbaan dengan kelebihan satu minit 25 saat pada satu ketika.
Aiman turut cemerlang mengutip mata penuh di dua zon pendakian, menjadikannya pencabar utama bagi Jersi Raja Bukit dengan kutipan 10 mata. Gelaran tersebut masih dipegang pelumba Itali, Nicolo Garibbo dengan 13 mata dan dijangka berubah pada peringkat seterusnya.
Strategi Aiman yang bijak mengikuti rentak Udagawa sehingga ke zon pecutan terakhir ternyata berhasil apabila beliau berjaya menempatkan diri dalam kedudukan podium tanpa sebarang masalah.
“Sangat sukar, walaupun ini perlumbaan berstatus 2.2, tetapi dengan kehadiran beberapa pelumba dari Eropah, rasanya seperti perlumbaan 2.0. Namun, alhamdulillah, terima kasih kepada pasukan yang banyak memberi motivasi dan semangat,” ujar Aiman.
Dalam kedudukan keseluruhan pelumba, Alessandro Fancellu kekal sebagai pendahulu dengan kelebihan 16 saat berbanding rakan sepasukan Aiman, Mathias Bregnhøj yang berada di tempat kedua.
Peringkat keempat bakal berlangsung secara pusingan (loop) dari Iida ke Iida sejauh 120.9 kilometer.