fb fb fb fb fb

Malaysia perlu ambil iktibar rusuhan di Stadium Kanjuruhan - Ahmad Faizal

(FOTO MEDIA SOSIAL)

KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Malaysia perlu mengambil iktibar dan teladan dalam tragedi berdarah, insiden rusuhan pada perlawanan bola sepak Liga Satu Indonesia di antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kejadian rusuhan hingga meragut ratusan nyawa itu sesuatu yang amat mendukacitakan.

Beliau berharap tragedi tersebut tidak lagi berulang bukan sahaja di Indonesia malah, termasuk Malaysia serta lain-lain negara di seluruh dunia.

(Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu / FOTO FAIL)

"Saya dengan penuh rasa sedih mengucapkan salam takziah buat seluruh ahli keluarga serta rakan taulan kepada mangsa yang terkorban dalam insiden terbabit. Selain itu, saya juga mendoakan agar mangsa tercedera segera diberi kesembuhan agar dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.

"Saya juga ingin menzahirkan rasa simpati kepada Kerajaan Republik Indonesia di atas insiden yang telah berlaku. Mudah-mudahan, segala dugaan yang dihadapi ini dapat ditangani dengan sebaik mungkin," katanya menerusi kenyataan.

Ahmad Faizal dalam pada itu turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk menghulurkan sebarang bentuk bantuan seandainya diperlukan oleh Kerajaan Republik Indonesia khususnya Kementerian Pemuda dan Olahraga bagi menangani situasi yang dihadapi.

"Sesungguhnya, Indonesia bukan sahaja sekadar negara jiran kepada Malaysia tetapi, merupakan sahabat serta saudara serumpun yang akan sentiasa ditemani ketika berdepan detik-detik sukar," katanya.

Media Baharu