BUKIT JALIL, 22 Mei - Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menampilkan aksi menyakinkan apabila mara ke suku akhir Malaysia Masters 2025 menewaskan gandingan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Pon Han.
Beraksi di hadapan ribuan penyokong di Axiata Arena, pasangan pilihan keempat kejohanan itu tampil menyakinkan dan menguasai perlawanan seawal set pertama.
Dengan gaya permainan kemas dan taktikal yang tersusun, mereka tidak memberikan ruang kepada lawan, sekali gus menamatkan aksi dengan kemenangan 21-13, 21-16 dalam masa hanya 39 minit.
Ini merupakan pertemuan pertama membabitkan kedua-dua pasangan.
Dalam pada itu, Wooi Yik mengakui keletihan selepas menyertai beberapa kejohanan secara berturut-turut, namun tetap berazam mencari jalan terbaik untuk terus mara.
“Perkara ini memang biasa berlaku selepas kejohanan berturut-turut, memang akan rasa penat. Saya rasa itu perkara biasa. Ditambah pula dengan tekanan bermain di hadapan penyokong sendiri, ia turut memberi kesan dari segi emosi.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, setiap hari kami bermain dengan kekuatan mental. Bukan semua orang berada pada tahap terbaik setiap dan apa yang penting, bagaimana kita menyesuaikan diri dan mencari cara terbaik untuk terus bermain,” katanya selepas tamat perlawanan.
Kejayaan ini bukan sahaja melayakkan Aaron-Wooi Yik beraksi di pusingan seterusnya, malah meneruskan rentak kemenangan selepas menjuarai Terbuka Thailand minggu lalu.
Harapan negara di ranking ketiga dunia itu bakal berdepan pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, bagi merebut tempat ke separuh akhir petang esok.
Daripada dua pertemuan terdahulu, kedua-dua pasukan berkongsi satu kemenangan dengan Aaron-Wooi Yik menang di Terbuka Malaysia 2024 dan tumpas pada saingan All England 2025, Mac lalu.