BUKIT JALIL, 22 Mei - Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah mara ke suku akhir Malaysia Masters 2025 selepas mengatasi pasangan Thailand, Pichamon Phatcharaphisutsin-Nannapas Sukkulhad, 21-13, 21-15.
Perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena itu menyaksikan pasangan pilihan ketiga kejohanan hanya memerlukan 37 minit untuk menundukkan lawan yang kini menghuni ranking ke-85 dunia.
Walaupun ini merupakan pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan, Pearly-Thinaah mempamerkan aksi mantap dan penuh keyakinan, mengawal rentak permainan sejak awal hingga tamat.
Bagaimanapun, Thinaah mengakui masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam persembahan mereka.
"Saya rasa kami belum benar-benar berpuas hati dengan permainan tadi. Masih ada ruang untuk penambahbaikan, terutama dari segi fokus. Kami sedikit leka selepas mendahului, tapi berjaya bangkit selepas mata ke-11," menurut Thinaah.
Sementara itu, Pearly mahu lebih fokus menghadapi aksi lebih mencabar esok.
"Saya rasa setiap perlawanan kami berdepan lawan yang sukar. Kami sentiasa saling mengingatkan, tak kira sama ada kami atau lawan yang mendahului, paling penting, kekal fokus dan sentiasa berbincang dengan jurulatih." katanya selepas tamat perlawanan.
Kemenangan itu menyuntik keyakinan tambahan buat mereka yang baru menjulang gelaran Terbuka Thailand minggu lalu.
Bagi perlawanan suku akhir esok, Pearly-Thinaah dijadualkan bertemu pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi yang kini menghuni ranking kelapan dunia.
Walaupun dijangka berdepan cabaran sengit, pertemuan sebelum ini memihak kepada harapan negara yang mencatat empat kemenangan daripada lima perlawanan.