fb fb fb fb fb

Malaysia lepasi sasaran, bawa pulang 32 pingat

HANGZHOU, 8 Oktober- Malaysia membawa pulang keseluruhan 32 pingat dalam Sukan Asia Hangzhou 2022 yang melabuhkan tirai malam tadi.

Penutupan itu disambut meriah di Stadium Olimpik dan negara matahari terbit, Jepun akan menjadi tuan rumah seterusnya dalam Sukan Asia pada 2026.

Kontinjen negara mengambil bahagian dalam 22 jenis sukan daripada 40 jenis sukan dipertandingkan melibatkan 141 daripada 483 acara sukan keseluruhannya.

Bagaimanapun kontinjen Malaysia melepasi sasaran sebanyak 27 pingat bagi kejohanan kali ini apabila atlet negara menghadiahkan 32 pingat keseluruhan iaitu enam pingat emas, lapan pingat perak dan 18 pingat gangsa.
 
Pencapaian itu meletakkan Kontinjen Malaysia pada kedudukan 14 terbaik dari 45 negara yang menyertai temasya berkenaan. 

China selaku tuan rumah menamatkan saingan dengan rekod baharu iaitu meraih 201 pingat emas sepanjang dua minggu temasya berlangsung. 

Catatan emas tuan rumah mengatasi edisi di Guangzhou pada 2010 iaitu berjaya mengutip 199 emas.

(Datuk Chong Kim Fatt)

Ketua Kontinjen Negara Datuk Chong Kim Fatt menyifatkan kontinjen Malaysia kali ini telah mencapai kejayaan memberangsangkan berdasarkan catatan 32 pingat sekali gus melepasi sasaran 27 pingat.

Lebih cemerlang penyumbang pingat emas pada edisi kali ini kebanyakannya terdiri daripada muka baharu.

Malaysia cuma kurang satu pingat emas berbanding edisi 2018 di Indonesia meskipun mempertaruh jumlah atlet yang lebih kecil pada edisi kali ini.

"Kontinjen Malaysia memang berpuas hati berbanding saiz kontinjen kita dikurangkan dari 400 di Jakarta-Palembang kepada 288. Bagi nisbah atlet pula bertambah baik, iaitu satu pingat untuk sembilan atlet.," katanya dalam sidang media rumusan prestasi kontinjen negara di Sukan Asia ke-19 di sini.

Sementara itu bagi Pengarah Bahagian Atlet, Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin, "walaupun tanpa sukan tenpin boling dan pencak silat atlet kita masih membawa pulang 32 pingat keseluruhan."

Berkenaan prestasi atlet Road To Gold (RTG), ia akan diputuskan pada mesyuarat ahli Jawatankuasa kuasa RTG yang akan berlangsung esok.

 

Media Baharu