fb fb fb fb fb

Malaysia ledak Singapura 12-2, tempah tiket perlawanan akhir hoki lelaki Sukan SEA

Skuad hoki lelaki negara/Foto FB MHC

BANGKOK, 18 Disember – Ketajaman jentera serangan menjadi sandaran utama skuad hoki lelaki negara apabila melangkah ke perlawanan akhir Sukan SEA Thailand dengan penuh bergaya selepas membenam Singapura 12-2 pada aksi separuh akhir, hari ini.

Beraksi di Universiti Sukan Kebangsaan Thailand (TNSU), Chonburi, skuad kendalian Sarjit Singh mempamerkan dominasi mutlak sejak suku pertama, sekali gus mengekalkan momentum memburu pingat emas yang dimenangi pada edisi 2023 di Kemboja.

Malaysia membuka tirai jaringan menerusi gol padang Fitri Saari pada minit ketujuh sebelum Amirul Hamizan Azahar menggandakan kelebihan empat minit kemudian.

Pesta gol diteruskan oleh Azrai Aizad Abu Kamal yang meledak hatrik gol padang pada minit ke-16, 22 dan 31. Syed Syafiq Syed Cholan pula menyumbang tiga jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-15, 32 dan 36.

Nik Aiman Nik Rozemi turut mencatat nama sebagai penjaring gol padang pada minit ke-21, diikuti jaringan Amanraj Singh pada minit ke-41 bagi memastikan kelebihan selesa buat skuad negara.

Singapura sekadar meraih dua gol saguhati menerusi Yap Wee Lee pada minit ke-54 dan Zaki Zulkarnain pada minit ke-58.

Malaysia menutup perlawanan dengan jaringan penalti stroke oleh Norsyafiq Sumantri pada minit ke-59 sebelum Shello Silverius melengkapkan kemenangan besar menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-60.

Sementara itu, Thailand turut mengesahkan kemaraan ke pentas akhir selepas menewaskan Indonesia menerusi penentuan penalti 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Kejayaan mara ke perlawanan akhir itu sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai kuasa besar hoki Sukan SEA dengan koleksi 17 pingat emas sejak penyertaan pertama pada 1971.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN