BANGKOK, 18 Disember – Malaysia membawa pulang pingat gangsa acara bola sepak lelaki Sukan SEA selepas menampilkan aksi penuh disiplin dan semangat juang tinggi, sekali gus menghampakan hasrat Filipina untuk menamatkan kempen di podium.
Pasukan negara menurunkan Zulhilmi Sharani di benteng terakhir, dengan Ubaidullah Shamsul mengetuai kesebelasan utama manakala Rahman Daud diberi tanggungjawab mengemudi jentera serangan.
Di pihak Filipina, Nicholas Guimaraes diturunkan di posisi utama sementara Sandro Reyes menggalas peranan selaku ketua pasukan.
Perlawanan bermula dengan tempo garang apabila kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan balas bagi memburu gol pembukaan.
Malaysia terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi bintang JDT II, Danish Hakimi sekali gus memberikan kelegaan kepada kem Harimau Muda B-23.
Muhammad Haqimi Azim Rosli/Foto BERNAMA
Bagaimanapun, Filipina berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36 hasil jaringan sendiri pemain Malaysia, Muhammad Haqimi Azim Rosli, yang tertanduk masuk bola ke gawang sendiri.
Haqimi bagaimanapun menebus kesilapannya apabila kembali meledak gol pada minit ke-43 selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol Filipina, Nicholas Guimaraes.
Babak pertama tamat dengan keputusan 1-2 memihak Malaysia.
Memasuki babak kedua, Filipina meningkatkan intensiti permainan bagi memburu gol penyamaan, namun Malaysia kekal berdisiplin dan berjaya menangkis setiap asakan, termasuk daripada Santiago Rublico dan Dylan Demunyck.
Tambahan masa lima minit tidak mengubah keputusan, dan wisel penamat dibunyikan dengan Malaysia kekal menang 2-1, sekali gus menghadiahkan pingat gangsa Sukan SEA 2025 dalam acara bola sepak lelaki.