fb fb fb fb fb

Malayan Tigress B-19 mampu cipta kejutan di Kelayakan Piala Asia

Cameron Ng berharap skuad Malayan Tigress B-19 tidak gentar berdepan pasukan handalan Asia

KUALA LUMPUR, 7 Mei - Ketua jurulatih skuad Malayan Tigress bawah 19 tahun (B-19), Cameron Ng optimis terhadap kemampuan anak buahnya menghadapi saingan sengit dalam Kelayakan Piala Asia Wanita bawah 20 (B-20) 2026 yang akan berlangsung dari 2 hingga 10 Ogos 2025 di Kuala Lumpur.

Malaysia diundi dalam kumpulan F bersama gergasi Asia, Jepun, serta Iran dan Guam dalam kumpulan yang dianggap antara paling mencabar.

Namun bagi Cameron, ia adalah peluang terbaik untuk membuktikan kemampuan bola sepak wanita negara di pentas antarabangsa.

“Kami sedar ini bukan laluan mudah, tetapi jika kita mahu melangkah jauh dalam bola sepak wanita Asia, inilah ujian yang perlu kita tempuhi dengan penuh semangat juang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pemilihan pemain dibuat berdasarkan prestasi semasa dengan gabungan daripada skuad B-20 edisi 2023 serta bakat muda dari pasukan B-17.

“Setiap pemain perlu buktikan mereka layak berada dalam pasukan. Komitmen dan mentaliti untuk menang adalah perkara utama yang saya cari dalam latihan serta perlawanan akan datang,” jelas Cameron.

Beliau turut memuji pelaksanaan liga bola sepak wanita di peringkat negeri yang sedang berlangsung kerana ia membantu memastikan pemain kekal aktif dan bersedia untuk cabaran kompetitif.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD