fb fb fb fb fb

Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 peluang martabat bola sepak wanita Malaysia

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Mei - Penganjuran Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026 di Kuala Lumpur merupakan peluang terbaik untuk mengangkat martabat dan sokongan terhadap bola sepak wanita negara.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Suraya Yaacob berkata, saingan kali ini juga memberi kelebihan bermain di laman sendiri kepada skuad Malaysian Tigress.

“Salah satu komponen utama dalam pelan strategik bola sepak wanita adalah mempromosikan sukan ini secara menyeluruh. Menjadi tuan rumah untuk Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan membuka peluang besar untuk mengetengahkan bola sepak wanita, khususnya dalam perlawanan bertaraf antarabangsa.

"Penganjuran di Malaysia juga menjadi platform penting untuk menarik minat peminat bola sepak tempatan terhadap perkembangan bola sepak wanita, selain memperkukuh sokongan akar umbi terhadap pasukan negara,” katanya.

Skuad negara kendalian Cameron Ng diundi Kumpulan F bersama Jepun, Iran dan Guam.

Saingan bermula dari 2 hingga 10 Ogos 2025, melibatkan beberapa pasukan dari Asia yang bersaing merebut tempat ke pusingan akhir kejohanan berprestij itu.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD