PARIS, 11 Disember- Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique memuji pasukannya selepas kemenangan 3-0 ke atas Salzburg dalam saingan Liga Juara-Juara pada Selasa.
Namun, beliau menegaskan bahawa PSG perlu memperbaiki prestasi jika ingin terus bersaing dalam kejohanan tersebut.
PSG, yang kini mendahului Ligue 1, memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan hambar, setelah tewas kepada Atletico Madrid, Bayern Munich dan Arsenal yang merupakan naib juara Liga Perdana musim lalu.
Kemenangan Selasa lalu membolehkan PSG berada dalam zon 'playoff', dengan menduduki tangga ke-24 dalam kedudukan keseluruhan.
PSG mengumpul tujuh mata daripada enam perlawanan namun ia masih belum mencukupi bagi Enrique.
"Bola sepak adalah sukan yang agak tidak adil. Kedudukan sekarang sangat sengit. Satu gol boleh membawa perbezaan besar dan kami masih ada dua perlawanan penting. Kami masih boleh tersingkir.
Perlawanan ini bukan lebih baik daripada menentang PSV Eindhoven atau Atletico Madrid. Malah, saya akan katakan ia lebih buruk, tetapi begitulah bola sepak.
Kami tahu kami perlu memperbaiki banyak perkara dan skuad ini tidak banyak berubah. Kami perlukan mata dan kami akan cuba memenangi perlawanan seterusnya," kata pengurus itu.
Sementara itu, Enrique turut memuji persembahan Nuno Mendes, yang menjaringkan gol kedua PSG dalam perlawanan tersebut.
"Nuno memberikan dimensi baharu dengan kelebihan fizikal dan teknikalnya. Dia boleh menyokong pertahanan serta bermain di bahagian serangan.
Buat masa ini, dia bermain lebih ke depan dan memberikan sumbangan besar dalam jentera serangan, tetapi perkara ini boleh berubah," tambah Enrique.
PSG kini bersiap sedia untuk perlawanan penting menentang pasukan Pep Guardiola, Manchester City, pada 22 Januari, sebelum menamatkan kempen mereka dengan perlawanan menentang VfB Stuttgart, tujuh hari kemudian.- REUTERS