MUNICH, 30 Julai - Bayern Munich pada Rabu melengkapkan perpindahan penyerang Luis Diaz dari juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool, dengan yuran dilaporkan mencecah €75 juta ($86.5 juta).
Pemain sayap Colombia itu memenangi Liga Perdana, Piala FA dan dua Piala Liga semasa bersama Liverpool di Anfield, telah menandatangani kontrak bersama juara Bundesliga hingga tahun 2029.
Yuran yang dibayar untuk Diaz adalah yang ketiga tertinggi dalam sejarah Bayern.
“Dengan Luis Diaz, kami berjaya membawa masuk salah satu pemain sayap kiri terbaik di Liga Perdana.
“Dia membawa watak pemain sejati dari Liverpool ke FC Bayern dan telah memenangi kejuaraan bersama setiap kelab yang disertainya.” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Jan-Christian Dreesen.
Diaz, 28, sangat gembira dengan perpindahan ke kelab Jerman itu.
“Ia sangat bermakna bagi saya untuk menjadi sebahagian daripada FC Bayern. Mereka adalah antara kelab terbesar di dunia. Saya mahu membantu pasukan baharu saya melalui gaya permainan dan keperibadian saya.
“Matlamat saya adalah untuk memenangi setiap kejuaraan yang mungkin, dan itulah yang akan kami usahakan setiap hari sebagai satu pasukan.” katanya.
Dalam satu hantaran di media sosial, Diaz berkata beliau akan menghargai selamanya masanya di Liverpool dan berasa bangga dengan segala yang telah dicapai bersama.
Diaz membuat 50 penampilan, menjaringkan 17 gol dan mencipta lapan bantuan jaringan dalam semua pertandingan musim lalu ketika pasukan kendalian Arne Slot itu memenangi kejuaraan Inggeris buat kali ke-20.
Pemain Colombia itu, yang menyertai dari Porto pada Januari 2022, menjaringkan 13 daripada 17 gol tersebut dalam Liga Perdana, menjadikannya penjaring kedua terbanyak Liverpool di belakang Mohamed Salah.
Diaz diketepikan daripada perlawanan persahabatan yang menyaksikan Liverpool tewas 4-2 kepada AC Milan di Hong Kong pada Sabtu, ketika spekulasi mengenai masa depannya semakin memuncak.
Perpindahan Diaz memberikan Bayern pengganti berkualiti untuk penyerang Jerman, Jamal Musiala, yang terpaksa disisihkan untuk “jangka masa panjang” selepas mengalami patah kaki dan buku lali terkehel dalam Piala Dunia Kelab baru-baru ini.
Sejak melakukan penampilan sulung antarabangsa pada 2018, Diaz telah menjaringkan 18 gol dalam 64 penampilan bersama pasukan kebangsaan Colombia.
Bayern memang memerlukan penambahbaikan di barisan serangan selepas pemain veteran Thomas Mueller meninggalkan kelab dan Leroy Sane berhijrah ke Galatasaray.
Diaz akan menjalani latihan buat kali pertama bersama rakan sepasukan dan jurulatih baharunya, Vincent Kompany, di Munich pada Rabu.
Pemain sayap itu berkemungkinan akan turun beraksi ketika Bayern menentang kelab Perancis, Lyon, dalam perlawanan persahabatan di Munich pada Sabtu.-AFP