KUALA LUMPUR, 30 Julai - Pemain tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal, menegaskan bahawa pasukan Gergasi Merah sudah bersedia menghadapi aksi pembuka tirai Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), yang turut menjadi perebutan Piala Sumbangsih pada 8 Ogos ini.
Beliau berkata sepanjang pra-musim, pasukan telah berpeluang mendapatkan minit permainan yang mencukupi dan menggunakan tempoh tersebut untuk memantapkan persiapan.
“Alhamdulillah, kami banyak mendapat 'game time' dan pra-musim berjalan dengan baik. Sekarang fokus kami adalah perlawanan pertama bertemu JDT. Harap kami dapat membuat persiapan terbaik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Kerjasama antara SFC dan Provident Fiduciaries Berhad (PFB) di Exchange 106.
Mengulas peluang bertemu juara bertahan itu, dia menegaskan bola sepak penuh dengan kejutan dan tidak mustahil Selangor mampu memberikan saingan.
“Bola sepak ini kita tak tahu apa akan jadi. Saya harap rakan sepasukan dapat memberikan saingan yang baik dan melakukan yang terbaik,” jelasnya.
Menyentuh isu keserasian rakan sepasukan termasuk pemain baharu, beliau menjelaskan proses itu berjalan dengan baik.
“Alhamdulillah, kami berlatih bersama dan saya lihat pemain import pun memberikan kerjasama yang baik. Dengan masa yang ada ini, saya harap kita dapat membina sebuah pasukan yang lebih mantap,” katanya.