BINTULU, 7 Oktober - Ketua Pegawai Operasi (COO) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 Emir Abdul Jalal optimis saingan tahun hadapan mampu menarik lebih banyak penyertaan pasukan berstatus dunia.
Menurut Emir, saingan musim depan akan mengekalkan 18 pasukan dalam kelompok pasukan dunia yang bersaing.
"dan kita lihat jugak tahun depan tahun untuk kutipan mata terakhir untuk relegation senarai world team jadi kemungkinan tahun depan ada banyak team yang mengejar mata dan kita jangkakan tahun depan insyallah la ada pertambahan world team yang akan datang ke malaysia le tour de langkawi" jelas beliau berkata sebelum perlumbaan peringkat terakhir di Bintulu.
Sebanyak tiga pasukan dunia menyertai LTdL 2024, iaitu EF Education Easypost dari Amerika Syarikat, Astana Qazaqstan dari Kazakhstan dan DSM Firmenich Post-NL dari Belanda.
Selain itu, dua pendakian berturut-turut yang diperkenalkan pada edisi tahun ini akan diteruskan setelah format itu berjaya meninggalkan impak serta kejutan terutamanya dalam persaingan merebut gelaran juara keseluruhan.
Emir menambah akan memasukkan semula laluan Genting Highlands untuk memberikan pelumba laluan pendakian berturut-turut seperti edisi 2001 dan 2011.
Saingan perlumbaan LTdL 2024 membabitkan perlumbaan lapan peringkat sejauh 1,190 kilometer menutup tirainya semalam.