SEPANG, 7 Oktober - Skuad Harimau Malaya bakal berdepan cabaran pasukan ke-95 dunia, New Zealand di Auckland 14 Oktober ini tanpa kehadiran kapten, Dion Cools.
Bagaimanapun, ketua jurulatih, Paul Marti Vincente berkata ketiadaannya bukan masalah besar buat pasukan negara.
"Semua pemain adalah penting. Kami perlu percaya dengan kekuatan kami sebagai satu pasukan.
"Jika ada pemain yang tidak dapat beraksi, kami ada ramai lagi pemain yang mampu isi kekosongan itu. Saya amat yakin dengan kemampuan semua pemain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum pasukan itu berlepas ke New Zealand di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada Ahad.
Tambah Vicente, antara calon yang mampu menggalas tanggungjawab tersebut termasuklah Matthew Davies dan Mohammad Syamer Kutty Abba.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan memaklumkan bahawa Cools tidak akan menyertai Harimau Malaya bagi perlawanan menentang New Zealand atas urusan keluarga.
Vicente berkata, aksi menentang New Zealand merupakan peluang terbaik untuk menilai keserasian antara pemain.
Selain itu, ia juga turut membantu pemain menambah minit di atas padang serta meningkatkan prestasi menjelang Kejohanan ASEAN 2024 yang dijadualkan bermula Disember ini.