fb fb fb fb fb

LTdL edisi ke-26 bakal menutup tirai hari ini

(Perlumbaan jelajah tertua Asia, Le Tour De Langkawi (LTdL) edisi ke-26 bakal menutup tirainya hari ini)

LANGKAWI, 18 Oktober - Perlumbaan jelajah tertua Asia, Le Tour De Langkawi (LTdL) edisi ke-26 bakal menutup tirainya hari ini.

Petang ini, pemilik kepada empat jersi ditawarkan iaitu jersi kuning selaku juara keseluruhan, jersi hijau, jersi merah dan jersi putih, bakal diketahui.

Selain itu gelaran pelumba terbaik Asia, pasukan terbaik dan pasukan terbaik Asia turut menjadi buruan kesemua 20 pasukan bertanding pada hari ini.

Laluan peringkat kelapan dan terakhir akan berlangsung di Loop Langkawi sejauh 115.9 kilometer.

Sudah pasti perlumbaan hari ini menjadi paling sengit dan mencabar buat semua pelumba, memandangkan ia menjadi peluang terakhir buat pencabar merampas keempat-empat jersi yang dipertaruhkan.

Secara keseluruhan, tiga zon pecutan ditawarkan iaitu di kilometer 30.8, 89.5 dan 98.3 serta tiga zon pendakian kategori tiga di Kilometer 91, 99.8 dan 108.6.

Pelumba Movistar, Ivan Ramiro Sosa ketika ini menguasai jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan berkelebihan 23 saat di depan pelumba pasukan EF Education Easypost, Hugh John Carthy.

Seorang lagi pelumba Movistar, Einer Augusto Rubio Reyes berada di tempat ketiga, ketinggalan lebih dua minit.


(Pemilik kepada empat jersi ditawarkan iaitu jersi kuning selaku juara keseluruhan, jersi hijau,
jersi merah dan jersi putih, bakal diketahui petang ini)

Jersi hijau bagi raja pecut menjadi rebutan tiga pelumba iaitu pemenang peringkat keenam, Eling Blikra, Gleb Syritsa dan Max Kanter.

Ketiga-ketiga pelumba itu kini cuma dibezakan tiga mata.

Perebutan bagi jersi putih selaku pelumba terbaik Asia juga dijangka sengit.

Pendahulu ketika ini, Jambaljamts Sainbayar daripada pasukan Terengganu Polygon Cycling Team, TSG cuma 0.01 saat mendahului pelumba Astana Qazaqstan, Andrey Zeits.

Sementara itu, harapan rakyat Malaysia hari ini sudah tentu ingin melihat seorang lagi pelumba TSG, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff mempertahankan gelaran raja bukit dimenangi pada edisi lalu.

Aiman ketika ini menerima saingan hebat dua lagi pelumba termasuk daripada rakan sepasukan, Jambaljamts dan Ivan Ramiro Sosa.

Semua bakal terjawab dalam perlumbaan yang dijangka berakhir pada pukul 4.18 petang.

Media Baharu