BRISBANE, 30 Jun- Hasrat skuad British and Irish Lions untuk menguasai Jelajah Australia menerima tamparan hebat apabila pemain scrum-halfnya Tomos Williams disahkan terpaksa menarik diri daripada keseluruhan siri perlawanan susulan kecederaan hamstring.
Pemain berusia 29 tahun itu, yang telah membuat 65 penampilan antarabangsa bersama Wales, mengalami kecederaan di bahagian belakang paha kiri sebaik menjaringkan try keduanya dalam aksi pembukaan menentang Western Force pada Sabtu lalu. Williams dilihat keluar padang sambil memegang kaki dan tidak akan lagi menyertai baki sembilan perlawanan jelajah.
“Malangnya, ini berita yang mengejutkan buat semua,” kata ketua jurulatih Lions, Andy Farrell.
“Kecederaan Tomos lebih serius daripada jangkaan awal, dan diklasifikasikan sebagai tahap sederhana ke jangka panjang. Dia menerima berita ini pagi tadi dan akan meninggalkan kem malam ini.”
Sebagai pengganti, Lions memanggil pemain Scotland dan Toulon, Ben White, yang sebelum ini tidak tersenarai dalam skuad 38 pemain. White kini dalam perjalanan dari New Zealand, di mana beliau sedang bersama pasukan Scotland bersiap sedia untuk aksi menentang Maori All Blacks.
“Dia tentu kecewa untuk Tomos, sama seperti kami semua. Tapi dalam masa yang sama, dia sangat bersemangat,” tambah Farrell.
Sementara itu, pemain Ireland, Jamison Gibson-Park, akan menggalas tanggungjawab di posisi scrum-half bagi aksi menentang Queensland Reds di Brisbane, Rabu ini, selepas pulih daripada kecederaan otot punggung.-AFP