LOS ANGELES, 21 April- Bintang baharu LPGA dari Sweden, Ingrid Lindblad mencipta sensasi apabila merangkul kejuaraan sulung dalam penampilan ketiganya di Jelajah LPGA selepas menjuarai LA Championship yang berlangsung di El Caballero Country Club, awal pagi Isnin waktu Malaysia.
Lindblad, 25, menampilkan aksi tenang dan konsisten dalam pusingan akhir apabila mencatat empat bawah par 68 untuk menamatkan saingan dengan keseluruhan 21 bawah par 267, mengatasi cabaran hebat dari pemain Jerman, Ester Henseleit yang mencatat 64, dan pemain Jepun Nasa Hataoka yang melakar skor cemerlang 63.
Pemain muda itu sebelum ini berkongsi kedudukan pendahulu bersama pemain Jepun Akie Iwai dan wakil tuan rumah, Lauren Coughlin. Ketiga-tiga mereka kekal bersaing sengit hingga ke lubang terakhir.
Lindblad yang membuat enam birdie dan dua bogey dalam 11 lubang pertama, memastikan kemenangannya dengan mengekalkan par pada tujuh lubang terakhir, sekali gus mengelak situasi playoff apabila Iwai melakukan bogey di lubang ke-18.
“Saya tak sangka ia (kejuaraan) akan datang secepat ini, tapi bila sudah berlaku dalam hanya beberapa penampilan, memang rasa agak gila,” katanya sambil mengakui masih banyak ruang untuk memperbaiki prestasi di sembilan lubang terakhir.
Nasib juga sedikit menyebelahi Lindblad apabila pukulan tee-nya di lubang ke-13 hampir masuk ke kawasan hutan, namun melantun kembali ke fairway.
“Saya rasa ada tupai yang baik hati tolong tolak keluar balik ke fairway,” katanya berseloroh.
Sementara itu, Coughlin yang menamatkan saingan berkongsi tempat ketiga bersama Henseleit dan Miyu Yamashita dari Jepun (66), tetap berpuas hati walaupun melakukan bogey di lubang kelima dan ke-18.
“Saya rasa permainan saya konsisten dan banyak pukulan yang baik. Cuma hari ini putt tidak menjadi,” katanya, sambil menyatakan keyakinan menjelang kejohanan major pertama musim ini, Kejohanan Chevron di Houston minggu depan.
Pemain nombor satu dunia, Nelly Korda, menamatkan kejohanan di kedudukan ke-16 selepas mencatat par 72, termasuk double bogey di lubang terakhir.-AFP