fb fb fb fb fb

Bayern hampiri kejuaraan Bundesliga

FOTO AFP

HAMBURG, 21 April- Bayer Leverkusen sekadar seri 1-1 menentang St Pauli pada Ahad, membuka laluan buat Bayern Munich menamatkan saingan Bundesliga musim ini dengan hanya lima mata daripada baki empat perlawanan.

Leverkusen bermula cemerlang apabila Alex Grimaldo menghantar sepakan percuma yang ditanduk masuk oleh Patrik Schick pada minit ke-32. Namun, selepas separuh masa, pasukan pelawat bermain lebih bertahan dan memberi ruang kepada St Pauli untuk menyerang bertubi-tubi.

Jaringan Morgan Guilavogui pada minit ke-74 dibatalkan akibat insiden handball, namun hanya tiga minit kemudian, Carlo Boukhalfa menyamakan kedudukan selepas penjaga gol Lukas Hradecky gagal menangkap kemas bola sepakan sudut.

Keputusan itu meletakkan Bayern Munich lapan mata di hadapan Leverkusen. Sekiranya Bayern menang minggu depan dan Leverkusen kalah, gelaran Bundesliga bakal menjadi milik mereka.

Leverkusen kini berdepan lebih banyak tekanan, dengan laporan menyatakan pengurus mereka, Xabi Alonso yang membawa kelab itu menjulang kejuaraan Bundesliga pertama dalam sejarah musim lalu mungkin akan berhijrah ke Real Madrid musim panas ini.

Sementara itu, St Pauli yang baru dinaikkan ke Bundesliga kini lapan mata di atas zon penyingkiran. Mereka mencipta kejutan musim ini dengan pertahanan kukuh, hanya dibolosi lebih sedikit berbanding Bayern dan Leverkusen.

Di Signal Iduna Park, Borussia Dortmund bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Borussia Moenchengladbach 3-2, mengekalkan peluang tipis untuk menamatkan musim dalam kelompok empat teratas.

Serhou Guirassy yang meledak hatrik ketika menentang Barcelona minggu lalu sekali lagi memainkan peranan penting dengan satu jaringan dan satu bantuan gol.

Selepas permulaan tegang, Gladbach mendahului menerusi Ko Itakura pada minit ke-24 hasil satu gerakan satu-dua bersama Kevin Stoeger. Namun, Dortmund membalas dengan tiga gol dalam tempoh sembilan minit sebelum separuh masa.

Carney Chukwuemeka, pemain pinjaman dari Chelsea, memulakan gerakan yang disudahi Guirassy, sebelum turut mencipta peluang untuk Felix Nmecha menyumbat gol kedua. Daniel Svensson menambah gol ketiga menerusi tandukan selepas percubaan Guirassy ditepis.

Gladbach mengurangkan defisit selepas Nmecha menjatuhkan Tim Kleindienst di dalam kotak penalti, membolehkan Stoeger menyempurnakan sepakan penalti.

Dortmund mengekalkan kelebihan dan kini menduduki tangga ketujuh, empat mata di belakang kedudukan keempat, selepas pernah jatuh sehingga tangga ke-11 sebelum ini.

Manakala di WWK Arena, Eintracht Frankfurt bangkit dari keletihan aksi Liga Europa menentang Tottenham untuk mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Augsburg.

Augsburg tampil lebih bertenaga dan kerap menguji pertahanan Frankfurt, khususnya melalui sepakan penjuru sebelum tamat babak pertama.

Kemasukan Ansgar Knauff memberi nafas baharu kepada Frankfurt di babak kedua. Pemain sayap itu hampir menjaringkan gol pada minit ke-70 tetapi dinafikan pertahanan Augsburg, Cedric Zesiger.

Keputusan seri ini membolehkan Frankfurt kekal di tangga ketiga liga, empat mata di depan Freiburg di tempat kelima. Mereka kini berada di landasan untuk layak ke Liga Juara-Juara buat kali kedua dalam sejarah moden kelab itu, kali pertama selepas menjuarai Liga Europa 2022.

Augsburg pula hanya tewas sekali dalam 14 perlawanan liga terakhir, dengan hanya tujuh gol dibolosi dalam tempoh itu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE