fb fb fb fb fb

Gilgeous-Alexander, Jokic, Antetokounmpo tersenarai finalis MVP NBA 2025

Nikola Jokic (KIRI), Shai Gilgeous-Alexander (TENGAH) dan Giannis Antetokounmpo (KANAN) disenarai sebagai finalis MVP NBA 2025

LOS ANGELES, 21 April- Tiga bintang antarabangsa Shai Gilgeous-Alexander (Oklahoma City Thunder), Nikola Jokic (Denver Nuggets), dan Giannis Antetokounmpo (Milwaukee Bucks) diumumkan sebagai finalis untuk Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) NBA 2025.

Jokic, yang memenangi anugerah itu buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun musim lalu, sekali lagi menunjukkan prestasi luar biasa dengan purata 29.6 mata, 12.7 rebound dan 10.2 assist menjadikan beliau antara hanya tiga pemain dalam sejarah yang pernah mencatat purata triple-double semusim.

Namun, Gilgeous-Alexander dari Kanada muncul sebagai penjaring terbanyak liga dengan purata 32.7 mata setiap perlawanan, dan berjaya mengetuai Thunder mencatat rekod terbaik musim ini dengan 68 kemenangan, termasuk margin jaringan terbaik dalam sejarah NBA.

Pemain Greece, Antetokounmpo pula mengekalkan prestasi konsisten untuk Bucks dengan purata 30.4 mata dan 11.9 rebound setiap perlawanan. Beliau pernah dinobatkan MVP dua kali berturut-turut pada tahun 2019 dan 2020.

Pemerhati sukan menjangka persaingan utama tahun ini bakal tertumpu antara Jokic dan Gilgeous-Alexander, yang turut menduduki tempat kedua di belakang Jokic dalam undian musim lalu. Jika Jokic menang kali ini, beliau akan menyamai LeBron James dan Wilt Chamberlain sebagai pemegang empat trofi MVP, sementara rekod kekal dipegang Kareem Abdul-Jabbar dengan enam kali.

Tahun ini juga menandakan empat musim berturut-turut di mana kesemua finalis MVP bukan kelahiran Amerika Syarikat. Kali terakhir pemain kelahiran AS memenangi anugerah tersebut adalah James Harden pada 2018.

Sementara itu, finalis untuk Anugerah Rookie Terbaik (Rookie of the Year) ialah bintang muda Perancis Zaccharie Risacher (Atlanta Hawks), Stephon Castle (San Antonio Spurs) dan Jaylen Wells (Memphis Grizzlies).

Risacher, pilihan pertama dalam draf tahun lalu, berharap untuk mengikut jejak rakan senegaranya Victor Wembanyama, yang memenangi anugerah tersebut musim lalu bersama Spurs.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE