MARSEILLE, 3 Mac-Marseille mengekalkan kedudukan di tangga kedua Ligue 1 selepas menewaskan Nantes 2-0 di laman sendiri pada Ahad, hasil jaringan Amine Gouiri dan Mason Greenwood.
Nice mencatat kemenangan liga keempat berturut-turut dengan menundukkan Saint-Etienne 3-1 pada Sabtu, sekaligus menyamai mata dengan Marseille.
Namun, pasukan kendalian Roberto De Zerbi memberi respon cemerlang dengan kemenangan keempat dalam lima perlawanan terakhir mereka.
Marseille kini berada 13 mata di belakang pendahulu liga, Paris Saint-Germain, tetapi mengukuhkan kedudukan untuk layak ke Liga Juara musim depan.
"Kami layak menang. Kami mencipta banyak peluang, walaupun ini bukan perlawanan terbaik kami di Velodrome," kata jurulatih Marseille, De Zerbi.
Marseille hampir membuka jaringan lebih awal tetapi gol Adrien Rabiot dibatalkan selepas semakan VAR mendapati terdapat pemain yang berada dalam kedudukan 'offside'
Selepas separuh masa pertama tanpa jaringan, Marseille meningkatkan tempo permainan tetapi Gouiri dan Greenwood gagal memanfaatkan beberapa peluang.
Gol pertama Marseille terhasil pada pada minit ke-73, apabila Greenwood menghantar bola kepada Valentin Rongier yang kemudiannya memberikan umpanan mudah kepada Gouiri untuk menolak masuk ke gawang kosong.
Gol itu merupakan gol ketiga dijaringkan Gouiri dalam lima perlawanan liga sejak berpindah dari Rennes.
Greenwood mengesahkan kemenangan Marseille beberapa minit kemudian dengan jaringan ke-15 dalam kempen Ligue 1 musim ini, selepas melepasi dua pertahanan Nantes sebelum melepaskan rembatan lencong ke gawang lawan.-AFP.