fb fb fb fb fb

LIGC sekali lagi jadi tuan rumah kejohanan golf MSSM

LABUAN, 1 Sept - Kelab Golf Antarabangsa Labuan (LIGC) dipilih buat kali kedua menjadi venue bagi kejohanan golf Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2022 yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 Sept ini.

LIGC menjadi tuan rumah kejohanan itu pada 2019 sebelum dua tahun terhenti akibat pandemik COVID-19.

Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Yusup Mohamad berkata sebanyak 192 pemain golf muda lelaki dan perempuan dari 16 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan telah mengesahkan penyertaan mereka dalam kejohanan tahun ini.

“Labuan sekali lagi diberi peluang untuk menjadi tuan rumah pada acara sukan sekolah berprestij ini di padang golf antarabangsa LIGC yang mencabar.

“Pemilihan venue dibuat berikutan kejayaan kami dalam menganjurkan acara itu pada 2019 dan kami berterima kasih kepada pegawai Kementerian Pendidikan atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap kami,” katanya kepada Bernama hari ini.

Yusup berkata beberapa pemain golf muda berpotensi yang mempunyai harapan cerah dalam sukan ini akan beraksi dalam kejohanan itu.

Pada 2019, Selangor muncul juara keseluruhan kejohanan golf MSSM dengan mengumpul 400 mata daripada acara 12 individu dan pasukan untuk tiga kategori iaitu bawah (B) 12, 15 dan 18 tahun.

Naib juara keseluruhan, Sarawak pula mendapat 262 mata dengan kejayaan terbaiknya ialah merangkul gelaran juara bagi kategori individu dan pasukan lelaki B15.

Timbalan Presiden LIGC Rithuan Ismail berkata pemilihan LIGC itu ialah satu pengiktirafan kepada kualiti padang golf dan pengurusan kelab golf itu. - BERNAMA

Media Baharu