KUANTAN, 30 Disember- Pasukan Sri Pahang (SPFC) mengumumkan 10 pemain musim ini tidak lagi bersama dengan skuad Tok Gajah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Menerusi hantaran di Facebook, Sri Pahang memaklumkan Kevin Ingreso, Michael Glassock, Lucas da Silva dan Sherzod Fayziev akan meninggalkan pasukan.
Enam pemain tempatan yang tidak lagi bersama Sri Pahang ialah Nicholas Swirad, Muslim Ahmad, Abdul Malik Mat Arif, Zuhair Aizat Mohd Nazri, Wan Syazmin dan Shahrul Nizam Mohf Nadzir.
"Komitmen, dedikasi dan keringat yang dicurahkan Ingreso, Glassock, Lucas, Fayziev, Swirad, Muslim, Abdul Malik, Zuhair Aizat, Wan Syazmin dan Shahrul Nizam sepanjang menyarung jersi Tok Gajah serta impak positif yang dibawa kepada kelab akan sentiasa dihargai dan dikenang.
"Terima kasih, semoga terus berjaya bersama pasukan baru," kata hantaran itu.
Sementara itu, empat import yang turut beraksi musim ini iaitu Kpah Sherman dari Liberia, Kuvondik Ruziev (Uzbekistan), Stefano Brundo (Argentina) dan Rafael Silva (Brazil) kekal bersama Sri Pahang.