fb fb fb fb fb

FAM fokus tiga kejohanan antarabangsa perkasa Harimau Malaya tahun depan

FOTO FB FAM

KUALA LUMPUR, 30 Disember- Tiga pertandingan antarabangsa melibatkan skuad Harimau Malaya dan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) akan menjadi fokus utama FAM pada 2024.

Menurut Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin, kesemua kejohanan tersebut penting untuk skuad kendalian Kim Pan Gon serta Juan Torres Garrido.

Jelas beliau, Piala Asia 2023 di Doha, Qatar bulan depan serta pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 akan menjadi tumpuan untuk skuad Harimau Malaya.

Pusingan kelayakan Piala Dunia/ Piala Asia terpenting kerana Malaysia menyasarkan layak ke pusingan ketiga kelayakan buat julung kali.

Sekali gus mengesahkan tempat ke Piala Asia 2027 serta semakin hampir dalam perjalanan mencapai impian beraksi di Piala Dunia.

Ketika ini, Malaysia mendahului saingan Kumpulan D pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 dengan enam mata.

Sementara itu, bagi skuad Harimau Muda pula, anak buah Garrido dijadual mengharungi kempen Piala Asia Bawah 23 di Qatar, April depan yang turut menawarkan tiga slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Datuk Hamidin turut memaklumkan FAM akan berusaha semaksimumnya untuk membantu dua skuad kebangsaan berkenaan mencapai sasaran masing-masing.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD