JOHOR BAHARU, 30 Disember-Bekas Pengarah Teknikal JDT dan penasihat pasukan, Hector Bidoglio akan kembali menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan Esteban Solari.
Perkembangan itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards menerusi hantaran di Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers pada Jumaat.
Menurut Edwards, Bidoglio akan dibantu Penolong Jurulatih Pablo Ricchetti dan penolong jurulatih baharu dari Argentina serta kakitangan kecergasan dan perubatan yang akan menyertai kelab pada musim depan.
“Pemain veteran JDT, Aidil Zafuan Abd. Radzak yang diumumkan meninggalkan pasukan itu selepas 10 tahun juga akan menyertai barisan kejurulatihan Hector,” katanya menerusi hantaran itu.
Bidoglio memulakan karier kejurulatihan dengan kelab Argentina, Newell's Old Boys dan pernah menjadi jurulatih dalam divisyen teratas di Argentina, Peru dan Ecuador.
Jurulatih itu juga pernah bersama beberapa kelab Sepanyol seperti Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Real Betis, di samping telah berguru dengan pengurus terkenal Marcelo Bielsa ketika bersama-sama pasukan kebangsaan Chile pada 2009.