fb fb fb fb fb

Liga Super: Sabah ikat TFC di Gong Badak

FOTO BERNAMA

KUALA NERUS, 8 Mac- Terengganu FC (TFC) terus dirundung kecewa apabila sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Sabah FC di hadapan 1,483 penyokong sendiri di dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Sabah FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Stuart Wilkin pada minit ke-20, memberikan tekanan awal buat TFC untuk mencari rentak permainan.

Tersentak dengan gol pelawat, penyerang import TFC kelahiran Nigeria, Imaheel Akinade, pantas menyamakan kedudukan 1-1 melalui tandukan padu pada minit ke-24.

Namun, kelalaian barisan pertahanan TFC dihukum apabila Saddil Ramdani meledak gol kedua Sabah FC pada minit ke-44, memastikan skuad pelawat mendahului 2-1 menjelang waktu rehat.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan tampil agresif dalam usaha memburu jaringan, menyebabkan beberapa kad kuning terpaksa dilayangkan oleh pengadil.

Ketika perlawanan memasuki minit-minit akhir, kapten pasukan TFC, Muhammad Safawi Rasid, muncul penyelamat dengan jaringan menerusi sepakan penjuru yang terus menerjah gawang Sabah FC, memastikan keputusan akhir terikat 2-2.

Menerusi keputusan itu, Sabah FC kekal di tangga ke-3 liga manakala TFC di tangga ke-4. Situasi itu semakin menyukarkan TFC untuk merealisasikan impian menamatkan musim di kedudukan tiga teratas, meski masih berbaki tiga perlawanan.

"Keseluruhan pada perlawanan ini, kedua-dua pasukan berusaha keras untuk menang namun satu mata untuk setiap pasukan sudah cukup bagus," kata Ketua Jurulatih Sabah FC, Martin Stano.

"Kita tahu pasukan Sabah, dengan kekuatan mereka kita pun kena terima walaupun 1 mata pada malam ini, kita tahu pemain-pemain sudah bagi segalanya, alhamdullilah satu mata pada malam ini," jelas Ketua Jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali yang tetap puas hati dengan aksi pemainnya meski sekadar catat keputusan seri di laman sendiri.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE