fb fb fb fb fb

Liga Super: Perak kenduri gol di Manjung

Foto BERNAMA

MANJUNG, 27 Januari-Perak FC berpesta gol selepas membelasah Kelantan Darul Naim (KDN) FC 7-0 dalam aksi Liga Super, di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi (Ahad).

Penyerang import 'The Bos Gaurus', Clayton Da Silva mencipta sensasi pada perlawanan itu apabila berjaya meledak empat gol.

Pada perlawanan berkenaan, Anak buah Yusri Che Lah berjaya merobek gawang KDN FC seawal minit ke lapan menerusi Clayton Da Silva.

Luciano Guaycochea menggandakan kedudukan buat pasukan Perak FC menerusi sepakan percuma pada minit ke-14 sebelum Adilet Kanybekov menambah jaringan ketiga, 10 minit kemudian sekali gus memastikan The Bos Gaurus selesa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua perlawanan Perak FC terus mendominasi perlawanan apabila Da Silva melengkapkan hatriknya dengan jaringan pada minit ke-57 dan ke-62, manakala Tommy Mawat Bada melebarkan jurang dengan gol keenam pada minit ke-69.

Da Silva menutup tirai perlawanan dengan jaringan keempat peribadinya pada minit ke-93, melengkapkan kemenangan bergaya pasukan yang kini mengumpul 22 mata selepas 18 perlawanan, sekali gus menduduki tangga kelima.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukan anak buahnya apabila berjaya mengakhiri kemarau tanpa kemenangan yang dilalui dalam Liga Super.

"Apabila kita menjaringkan gol yang besar jaringan dan bolos kita agak baik maksudnya kita telah melebihi bolos.

"Itu yang kita tekankan. Jadi saya mengharapkan para pemain lebih fokus kerana perlawanan selepas ini kita akan bertemu dengan pasukan yang lebih kuat", katanya ketika ditemui selepas perlawanan di sini.

Manakala bagi Penolong ketua jurulatih Kelantan Darul Naim (KDN) FC Rezal Zambery Yahya berkata, meskipunpasukannya terpaksa bermain dalam situasi sukar, namun anak buahnya telah memberikan aksi yang terbaik.

Sudah pasti apa yang kita lihat tahap pemain yang tidak begitu baik.
Jadi, bermain dengan pasukan yang bagus seperti Perak, kita cuba untuk bertahan cuba untuk mengurangkan defisit jaringan tapi ia tidak berlaku.

"Apa-apa pun saya bagi penghargaan kepada pemain", kata Rezal.

Kemenangan itu membolehkan Perak naik tiga anak tangga ke kedudukan kelima dengan mengumpul 22 mata selepas mengharungi 18 perlawanan manakala KDN pula terperosok di tangga terbawah apabila hanya meraih tujuh mata.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD