(Foto FB Kelantan United Football Club)
IPOH, 7 Julai- Perak FC masih gagal untuk meraih tiga mata penuh apabila seri 1-1 menentang Kelantan United FC (KUFC) pada aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.
Pada aksi tersebut, skuad The Bos Gaurus (TBG) tidak mempunyai masalah untuk mendominasi perlawanan pada babak pertama dengan tuan rumah beraksi garang apabila membuat beberapa percubaan ke atas gawang gol Kijang Hijau.
Buktinya selepas 10 minit perlawanan, tandukan dari tonggak tengah, Sunday Afolabi menerusi tendangan penjuru Luciano Guaycochea memberi kelebihan kepada skuad Seladang untuk meraih gol pertama.
Sepakan sudut yang diperoleh sebanyak lima kali menambah lagi peluang kepada Perak untuk mencuba melakukan serangan di gawang gol anak-anak buah Ailton Silva.
Bersambung pada babak kedua, anak-anak buah Yusri Che Lah terus melakukan asakan demi asakan di kawasan lawan namun KUFC juga tidak berdiam diri apabila turut membuat percubaan ke gawang yang dijaga Shaheeswaran.
Kelantan United menyamakan kedudukan menerusi penalti yang disempurnakan Indra Putra pada minit ke-84 selepas Akinade Ismaheel dijatuhkan.
Keputusan seri itu membolehkan Kelantan United naik satu anak tangga ke posisi ke-12 dengan mengumpul tujuh mata sementara Perak kekal di tangga ke-11 dengan kutipan 10 mata.
(Afolabi dan Indra Putra menjadi penjaring pada perlawanan / FB PerakFC)
Sementara itu, pengendali Perak FC, Yusri Che Lah memuji usaha keras yang dipamerkan anak buahnya namun mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.
"Tapi malam ni saya nampak pemain betul-betul berusaha keras kerana tiga perlawanan sebelum ini kita memberi laluan cukup mudah untuk pasukan lawan menjaringkan gol, malam ni akhirnya berakhir dengan sepakan penalti itu peluang yang ada dalam kebanyakan bola mati oleh pasukan pelawat," katanya.
Pengendali Kelantan United FC, Ailton Dos Santos Silva pula jelas lega dengan keputusan diraih.
"Pasukan banyak menunjukkan peningkatan dan mencipta peluang baik. Kami datang ke sini cuba mendapat kemenangan tetapi itu tidak mustahil cuma satu yang bagus untuk kekal jarak, terus kutip mata," katanya.