fb fb fb fb fb

Liga Super: PDRM diikat Kuching City FC

(FOTO FB malaysianfootballleague)

PETALING JAYA, 9 Oktober - PDRM FC gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri selepas diikat 1-1 oleh Kuching City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Walaupun menguasai separuh masa pertama, namun ‘The Cops’ jelas buntu menembusi kubu pertahanan pelawat.

Bersambung babak kedua, PDRM FC berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan hasil percubaan penyerang dari Nigeria, Uche Agba memecah kebuntuan pada minit ke-45.

Jaringan tersebut langsung tidak mematahkan semangat Kuching City untuk bangkit dan hasilnya penyerang kelahiran Liberia, Abu Kamara berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-58.

Pelawat terus menggandakan asakan ke kubu PDRM namun gagal menambah jaringan.

Peluang terbaik 'The Cats' untuk pulang dengan tiga mata hadir pada minit ke-81, namun tandukan pemain tengah dari Jepun, Yuki Tanigawa, sedikit tersasar.

Keputusan seri menyaksikan PDRM FC kekal di tangga kelapan dengan 28 mata.

Kuching City pula yang masih gagal menamatkan kemarau 21 perlawanan tanpa kemenangan naik satu anak tangga untuk berada di tempat ke-13 dengan lapan mata.


(FOTO FB malaysianfootballleague)

Media Baharu