fb fb fb fb fb

Liga Super: Brundo sekat hajat TFC kutip mata penuh

Foto BERNAMA

KUALA NERUS, 17 Ogos-Ketua pasukan Sri Pahang, Stefano Brundo menafikan hasrat tuan rumah, Terengganu FC (TFC) untuk mengutip mata penuh selepas jaringannya mengikat kedudukan kedua-dua pasukan seri 1-1.

Pada aksi derbi pantai timur yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin berkenaan, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi permainan seimbang dengan beberapa serangan balas.

TFC terpaksa menanti minit kedua masa tambahan selepas bola hantaran Ubaidullah Shamsul Fazili singgah di kaki Nurillo Tukhtasinov yang melakukan percubaan tepat untuk memecahkan kebuntuan.

Bersambung Separuh masa kedua, skuad Tok Gajah kembali memperkemas serangan dengan asakan bertubi-tubi ke arah gawang TFC.

Namun pertahanan kental pasukan berkenaan menafikan sebarang jaringan buat Sri Pahang.

Memasuki minit-minit penghujung permainan, Brundo menjadi wira Sri Pahang apabila menyambar sepakan sudut Muhd. Baqiudin Shamsudin sekali gus membolehkan Sri Pahang pulang dengan satu mata.

Keputusan 1-1 menyaksikan TFC memungut 15 mata daripada lapan perlawanan di tempat ketiga manakala Sri Pahang mengumpul tujuh mata di kedudukan kesembilan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner, tetap berpuas hati dengan corak permainan anak buahnya meskipun gagal meraih mata penuh.

Jelasnya, beberapa aspek kelemahan skuadnya akan diperbaiki secepat mungkin.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad pula mahu anak buahnya terus bangkit meningkatkan prestasi dalam mencari kemenangan.

"Saya rasa bangga dapat lihat pemain memberi yang terbaik dan 100 peratus dalam perlawanan ini", katanya yang ditemui selepas perlawanan di sini malam tadi (Jumaat).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD