fb fb fb fb fb

Liga Saudi mampu jadi antara terbaik di dunia- Ronaldo

(FOTO AFP)

RIYADH, 2 Jun-Penyerang kelab Al Nassr, Cristiano Ronaldo mendedahkan liga Bola Sepak Arab Saudi mampu menjadi antara lima liga terbaik di dunia seandainya mereka dapat menarik minat bintang-bintang besar dunia bermain di liga berkenaan.

Kenyataan tersebut hadir selepas beberapa bintang bola sepak dunia seperti Lionel Messi, Karim Benzema dan Luka Modric dikaitkan berpindah ke Arab Saudi musim depan.

Ronaldo, 38 tahun menganggap perkembangan itu sesuatu yang positif dan sedia mengalu-alukan kedatangan mereka bagi bersama-sama bermain di liga berkenaan.

Baru-baru ini, kelab Paris Saint Germain mengesahkan ketua pasukan Argentina, Lionel Messi bakal meninggalkan kelab berkenaan pada musim panas ini dan bakal berperanan sebagai duta pelancongan untuk Arab Saudi.

Sementara itu, bekas rakan sepasukan Ronaldo, iaitu Benzema dan Modric dikatakan bakal mengambil langkah sama bagi mengakhiri karier masing-masing di liga negara minyak itu.

"Sekiranya mereka benar-benar bermain di sini, mereka sangat dialu-alukan.

"Kehadiran bintang-bintang besar bakal memperbaiki sedikit mutu liga ini", kata Ronaldo ketika ditemubual oleh SPL.

Ronaldo turut berkata peluang bagi potensi liga tersebut berkembang pada masa depan adalah sangat besar memandangkan liga tersebut sangat kompetetif.

"Namun, terdapat beberapa hal yang perlu mereka lihat kembali seperti fasiliti sukan termasuk mutu pengadilan, sistem VAR yang perlu dipertingkatkan", katanya lagi.

Ronaldo turut mendedahkan dia sangat gembira tinggal di negara berkenaan dan berhasrat bagi menyambung kontrak bagi bermain di liga berkenaan.

"Saya gembira dan ingin meneruskan karier di sini (Arab Saudi).

Pada pandangan saya, sekiranya semua perancangan kerajaan berjalan lancar, saya menjangkakan dalam tempoh lima tahun lagi, liga Saudi bakal menjadi antara lima liga bola sepak terbaik di dunia", katanya.

Musim ini, Ronaldo yang mewakili Al-Nassr berjaya menjaringkan 14 gol dalam 16 perlawanan dan berjaya membantu kelab berpengkalan di Riyadh itu menjadi naib juara liga-BBC.com


(FOTO AFP)

Media Baharu