JEDDAH, 25 Oktober - Al Hilal menampilkan aksi cemerlang apabila menundukkan juara bertahan Liga Pro Saudi, Al Ittihad 2-0 di Stadium Alinma pada Jumaat.
Kemenangan itu sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama buat pengendali pasukan, Simone Inzaghi dalam saingan Clasico.
Kemenangan itu hadir menerusi gol sendiri Mahamadou Doumbia pada babak pertama dan jaringan mudah Marcos Leonardo pada minit ke-57.
Pada perlawanan yang berlangsung di hadapan lebih 46,000 penyokong tuan rumah, Al Hilal mendominasi perlawanan sejak mula dan hampir mendapatkan gol pertama pada minit ke-10 menerusi rembatan separuh voli Marcos Leonardo yang menggegarkan palang gol Al Ittihad.
Selepas beberapa percubaan jarak jauh daripada Sergej Milinkovic-Savic dan Moussa Diaby tersasar, Al Hilal akhirnya memecah kebuntuan empat minit sebelum rehat apabila sepakan sudut Ruben Neves ditanduk Darwin Nunez.
Tandukan pemain Uruguay itu mengenai Doumbia sebelum bola menerjah gawang sendiri menewaskan penjaga gol Hamed Al-Shanqiti.
Al Hilal hampir menggandakan jaringan sejurus selepas rehat, namun percubaan Leonardo diselamatkan di atas garisan oleh Danilo Pereira.
Namun, kesilapan Al-Shanqiti pada minit ke-57 memberi ruang kepada Leonardo untuk menyambar bola muntah dan menolak masuk ke gawang terbuka untuk jaringan ke-22 beliau dalam 27 penampilan.
Al Ittihad yang bergelut di bawah kendalian Conceicao gagal menemui rentak. Karim Benzema mensia-siakan beberapa peluang keemasan, manakala percubaan N’Golo Kante dinafikan pertahanan lawan dalam kawasan penalti.
Darwin Nunez turut hampir menambah jaringan buat Al Hilal, namun golnya dibatalkan kerana ofsaid.
Kekalahan tersebut merupakan yang kedua berturut-turut di laman sendiri buat Al Ittihad, dan ketiga berturut-turut.
Kemenangan berkenaan melonjakkan kedudukan Al Hilal ke tangga ketiga dengan 14 mata.Satu mata di belakang pendahulu Al Nassr yang masih mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan. - REUTERS
Bagi Inzaghi, kemenangan Clasico pertamanya ini menjadi isyarat jelas bahawa Al Hilal kembali berada di landasan tepat untuk mencabar kejuaraan musim ini. - REUTERS