JEDDAH, 31 Oktober – Al Ahli terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 menentang Al Riyadh dalam perlawanan Liga Pro Saudi yang berlangsung pada Khamis.
Bermain di gelanggang sendiri Al Ahli berjaya menguasai permainan, dengan 68% penguasaan bola dan 19 cubaan ke arah gol berbanding 32% penguasaan dan 6 cubaan Al Riyadh.
Namun, gagal menembusi benteng pertahanan lawan sehingga minit ke-85.
Al Ahli akhirnya membuka jaringan selepas mendapat penalti susulan bola yang terkena tangan pertahanan Al Riyadh, Marzouq Tambakti, dalam kotak penalti.
Penyerang berbisa Al Ahli,Ivan Toney tenang menyempurnakan penalti untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.
Ketika perlawanan seakan-akan berpihak kepada Al Ahli, pasukan pelawat, Al Riyadh dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain Al Ahli, Abduelelah Al Khaibari melakukan kekasaran terhadap Mamadou Sylla di dalam kotak penalti.
Selepas semakan VAR, pengadil menghadiahkan Al Riyadh sepakan penalti yang disempurnakan pemain tengah, Toze pada minit terakhir masa tambahan separuh masa kedua.
Nasib malang terus menghantui Al Ahli selepas pemainnya, Ziyad Al Johani dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain lawan pada minit-minit akhir permainan.
Al Ahli kini mengumpul 13 mata daripada tujuh perlawanan, lima mata di belakang pendahulu liga, Al Nassr.
Manakala, Al Riyadh pula memiliki 7 mata daripada tujuh perlawanan. - REUTERS