fb fb fb fb fb

Liga Negara UEFA: Pertembungan dua generasi antara Ronaldo, Yamal

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo (kiri) dan bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal/AFP

MUNICH, 8 Jun- Pentas akhir Liga Negara UEFA antara Portugal dan Sepanyol, bakal menyaksikan pertembungan bintang dari dua generasi berbeza iaitu Cristiano Ronaldo dan Lamine Yamal.

Aksi akhir di Munich digambarkan sebagai pertarungan antara Ronaldo yang berusia 40 tahun, antara bintang terbesar dalam sejarah bola sepak, dengan Yamal yang baru berusia 17 tahun, bakat muda paling menyerlah dalam arena bola sepak dunia, ketika ini.

Ronaldo sebelum ini menjaringkan gol kemenangan yang membawa Portugal menewaskan Jerman untuk mara ke final, manakala Yamal dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas meledak dua gol dalam kemenangan dramatik 5-4 Sepanyol ke atas Perancis di separuh akhir.

Bagaimanapun, Kapten Portugal itu menegaskan bahawa tumpuan berlebihan terhadap pertembungan peribadi antara beliau dan Yamal tidak wajar, sambil menyifatkan Sepanyol sebagai "mungkin pasukan kebangsaan terbaik di dunia."

"Ini adalah pertembungan antara generasi berbeza, satu generasi sedang naik manakala satu lagi sedang melangkah ke penghujung pentas. Jika anda mahu menganggap saya sebagai sebahagian daripada generasi yang akan berundur, saya terima.

Namun, apabila anda bercakap tentang pertembungan antara Cristiano dan seseorang yang lain, itu bukan caranya. Media memang gemar memperbesarkan sesuatu, itu lumrah. Tetapi hakikatnya, ini adalah pertemuan antara dua pasukan," katanya.

Ronaldo turut memuji Yamal sambil mengingatkan bahawa kekuatan Sepanyol bukan bersandarkan kepada seorang pemain semata-mata.

"Anda semua banyak bercakap tentang Lamine, dan anda betul kerana dia memang sangat berbakat. Tetapi saya ingin bercakap tentang pasukan mereka. Mereka ada Nico Williams, barisan tengah yang hebat seperti Pedri dan jurulatih mereka, Luis de la Fuente, seorang yang sangat bagus, berdisiplin tinggi," tambah Ronaldo.

Portugal kali terakhir menewaskan jiran mereka itu dalam perlawanan kompetitif adalah 21 tahun lalu, ketika Ronaldo baru sahaja memulakan karier antarabangsa.

Kedua-dua pasukan pernah menjuarai Liga Negara UEFA dengan Sepanyol merupakan juara bertahan selepas kemenangan pada 2023 manakala Portugal memenangi edisi sulung kejohanan itu pada 2019.

Sepanyol kini mencatatkan 16 kemenangan dan dua seri dalam 18 perlawanan terakhir, tanpa sebarang kekalahan dalam aksi kompetitif sejak Mac 2023.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM