ALOR SETAR, 5 Januari- PDRM FC kini dalam proses memuktamadkan senarai akhir barisan pemain skuad bawah 14 dan 17 tahun yang akan bersaing di Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2024.
Sesi pemilihan akan dilakukan oleh barisan kejurulatihan Hijau Kuning Football Club (HKFC); PDRM FC dan Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH).
Presiden HKFC, Muhamad Talhah Zainol berkata pemain-pemain yang terpilih kini ditempatkan di asrama KSAH bagi memastikan mereka dapat dilatih oleh jurulatih berpengalaman HKFC serta dibantu jurulatih PDRM FC dan KSAH FC.
Beliau berkatam ia bagi meningkatkan prestasi pemain-pemain tersebut dengan menggunakan modul Laliga Akademi.
“Pemilihan pemain akan turut menitik beratkan kelulusan akademik yang akan disaring secara teliti selaras dengan cita-cita HKFC yang bukan sahaja ingin melahirkan pemain bolasepak tetapi melahirkan seorang individu pemain yang lengkap dari segi sahsiah, pelajaran dan profesional pada satu masa nanti,"katanya ketika ditemui RTM.
Pembentukan skuad PDRM FC U-14 dan PDRM FC U-17 adalah kolaborasi antara HKFC, PDRM FC dan KSAH FC.
KSAH akan menjadi gelanggang utama pasukan tersebut.
Pada sesi pemilihan tertutup yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar selama tiga hari berakhir 30 Disember lalu, seramai 97 pemain hadir uji bakat bagi skuad PDRM FC-14 dan 103 pemain bagi skuad PDRM FC-17.
Daripada jumlah itu, 92 pemain dari seluruh negara terpilih untuk menjalani sesi pemilihan terakhir di KSAH.