fb fb fb fb fb

Liga Juara Asia: JDT fokus raih kemenangan menentang Ulsan Hyundai

Jurulatih JDT, Esteban Solari/FOTO RTM

ISKANDAR PUTERI, 7 November - Jurulatih JDT, Esteban Solari optimis anak buahnya mampu kekal fokus untuk meraih kemenangan menentang juara K-League, Ulsan Hyundai menjelang aksi keempat kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Menurut Solari, pasukannya perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri biarpun sedar Ulsan Hyundai bukan lawan mudah untuk ditewaskan.

"Kami (JDT) memang suka cabaran seperti ini dan berharap kami dapat lakukannya lebih kerap kerana ia menjadikan kami lebih baik.

"Seperti saya katakan, buat masa ini kami gembira dengan aksi kami. Kami merupakan pasukan yang mempunyai falsafah permainan dan identiti, tetapi kami perlu perbaiki corak permainan kerana dalam pertandingan ini kesilapan mudah akan menyebabkan kekalahan pasukan", katanya pada sidang media di sini.

Ketika ini JDT berada di kedudukan ketiga Kumpulan I dengan tiga mata, selepas tiga perlawanan.

Sementara itu, pengendali Ulsan Hyundai, Hong Myung Bo akui pasukannya tidak boleh memandang mudah cabaran JDT.

Myung Bo turut menjangkakan pasukan tuan rumah akan lebih banyak menyerang sekali gus perlu berwaspada dengan jentera serangan tuan rumah.

"Kami tahu JDT akan bermain agresif dan membuat serangan awal esok. Tetapi jika pemain dapat menyerap asakan itu dan bermain baik, kami akan mampu menyaingi JDT", katanya.

Ketika ini JDT masih berpeluang mara ke peringkat seterusnya sekiranya memenangi pertemuan menentang Ulsan Hyundai malam ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD