fb fb fb fb fb

Liga Brazil: Santos turun divisyen

FOTO FB Real_Soccer

BRASILIA, 7 Disember - Kelab Santos yang pernah diwakili pemain legenda bola sepak dunia, Pele tersingkir buat kali pertama ke liga bawahan pada Rabu susulan tewas kepada Fortaleza pada perlawanan terakhir Liga Brazil.

Kelab berkenaan merupakan antara tiga kelab yang tidak pernah diturunkan divisyen selain Sao Paulo dan Flamengo.

Kekalahan lima perlawanan berturut-turut mengakibatkan Santos tergelincir di tangga ke-17 dengan hanya memungut 43 mata.

Pada perlawanan berkenaan, Santos dilihat berpeluang keluar dari zon penyingkiran apabila berjaya menyamakan kedudukan 1-1 ketika menentang Fortaleza pada separuh masa kedua.

Bagaimanapun, hasrat tersebut musnah setelah jaringan saat-saat akhir permainan oleh Fotaleza menyebabkan bekas juara tiga kali Copa Libertadores itu tewas dan terjerumus ke zon penyingkiran di hadapan penyokong sendiri.

Santos bakal menyertai tiga lagi pasukan iaitu America Mineiro, Coritiba dan Goias turun ke divisyen bawahan musim depan.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD