AYER KEROH, 9 November- Kejohanan Liga Bola Sepak Piala Gabenor 2024 edisi ketiga bakal diadakan bermula 9 November depan, dengan aksi akhir dijangka berlangsung pada pertengahan Januari 2025.
Pengerusi pertandingannya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata Liga Bola Jaring Piala Toh Puan edisi kedua turut akan dilangsungkan sekali gus merancakkan lagi kalendar sukan negeri, hujung tahun ini.
Sebanyak 24 pasukan akan beraksi pada kejohanan itu membabitkan 12 pasukan bola sepak dan 12 pasukan bola jaring yang akan berlangsung di empat lokasi berbeza.
"Kita ambil yang terbaik untuk bertanding pada tahun ini dan hadiah utama tahun ini juga kita naikkan kepada RM12,000 untuk Liga Bola Sepak Piala Gabenor 2024 dan bola jaring juga sama. Juara bakal membawa pulang RM3,500," kata Datuk Nur Azmi kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Kejohanan Liga Bola Sepak Piala Gabenor Edisi Ketiga 2024 dan Kejohanan Liga Bola Jaring Piala Toh Puan Edisi Kedua 2024, di Taman Seribu Bunga, di sini.
Piala Gabenor Edisi Ketiga 2024 bakal disertai pasukan seperti MBMB Warriors FC, PSP FC, Taming Sari, Morten FC, SSN FC, Budiman Cergas FC, Perma FC dan Jebat FC.
Sementara itu, saingan bola jaring membabitkan Istana Melaka Team, SUK Melaka NC, SSN Resilience, ISDA NC, PDRM, Starlight NC, SU Fighter NC, Dragonites NC, UiTM Melaka, Spitfire Netballers dan Melaka Mystic.