fb fb fb fb fb

Liga A1: Kedah FA selesa dianggap sebagai 'underdog'

Foto Facebook Menteri Besar Kedah

ALOR SETAR, 22 Julai – Kedah FA tidak meletakkan harapan terlalu tinggi menjelang saingan Liga A1 Semi Pro 2025/2026, sebaliknya hadir sebagai pasukan ‘underdog’.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor berkata, kombinasi barisan kejurulatihan berpengalaman dan pemain muda diyakini mampu menjadi ramuan kejayaan skuad Hijau Kuning pada musim sulung mereka dalam liga tersebut.

“Kita dapat barisan kejurulatihan yang berpengalaman. Para jurulatih dan penolong jurulatih semuanya pernah mewakili negara.

"Saya yakin pengalaman mereka akan digarap bersama kesungguhan para pemain muda, dengan dengan pemain berpengalaman. Kita yakin, walaupun underdog, pasukan ini akan menyinar dalam musim pertama dalam Liga A1,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Memperkenalkan Penaja dan Pasukan Kedah FA bagi musim 2025/2026 yang berlangsung di Alor Setar, malam tadi.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah turut menzahirkan keyakinan bahawa penyokong setia Hijau Kuning akan terus memenuhi stadium dan memberikan sokongan padu, walaupun Kedah FA hanya beraksi dalam kejohanan semi-pro.

Untuk musim ini, skuad Kedah FA dibarisi sepenuhnya oleh pemain muda tempatan, selain seorang pemain import dari Afrika yang masih dalam tempoh percubaan.

Sementara itu, tokoh pengurusan bola sepak negeri, Datuk Wira Syed Khairul Anuar Syed Abidin telah diumumkan sebagai pengurus pasukan berdasarkan pengalaman luas beliau dalam dunia bola sepak Kedah sebelum ini.

Sebanyak 16 pasukan akan bersaing dalam Liga A1 musim ini, dengan KedahFA dijadual memulakan kempen menentang Perlis GSA di Kangar pada 2 Ogos depan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD