KUALA LUMPUR, 6 Mei - Penyerang Barcelona, Robert Lewandowski disahkan pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring.
Bagaimanapun, pengurus pasukan Hansi Flick berkata, pemain berusia 36 tahun itu akan bermula di bangku simpanan menentang Inter Milan dalam separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah pada awal pagi Rabu.
Penyerang Poland berusia 36 tahun itu yang sudah menjaringkan 40 gol dalam semua kejohanan musim ini, terpaksa diketepikan dalam empat perlawanan terakhir Barcelona.
Lewandowski mengalami kecederaan ketika kemenangan 4-3 Barca ke atas Celta Vigo pada 19 April lalu.
Sekali gus menyebabkan dia terlepas aksi final Copa del Rey menentang Real Madrid dan pertemuan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Inter.
Dalam pada itu, Flick mengesahkan dua pemain pertahanan Jules Kounde dan Alejandro Balde tidak akan beraksi berdepan Inter susulan kecederaan.
Ketiadaan Kounde dan Balde dijangka menguji Barcelona yang bergelut mengekang serangan balas Inter dalam separuh akhir pertama, khususnya menerusi Denzel Dumfries yang meledak dua gol dan mencipta satu bantuan jaringan. - REUTERS