PORT DICKSON, 6 Mei– Kejohanan Tinju Divisyen Kadet Tahun 2025 menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu peninju muda serta memupuk semangat juang dan keyakinan diri dalam kalangan Pegawai Kadet.
Komandan Akademi Tentera Darat, Brigedier Jeneral Mohd Kamil Abdul Latif berkata, kejohanan berkenaan bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental, malah turut memperkukuh kekuatan rohani peserta.
“Tinju adalah sukan yang cukup sinonim dengan Angkatan Tentera Darat, malah turut melahirkan legenda negara, Mejar Sapok Biki.
“Penganjuran tinju ni banyak pengisian dia bukan sekadar bertinju tapi lebih daripada itu, terima kasih kepada semua pihak, terima kasih juga kepada idola tinju negara Mejar Sapok Biki.
"Saya juga berpuas hati dengan penganjuran dan juga perjuangan tinju yang berlangsung selama tujuh hari di Stadium Mini ATD ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Penutup Kejohanan Tinju Divisyen Kadet Tahun 2025 di Kompleks Sukan, Kem Segenting.
Kejohanan yang berlangsung dari 28 April hingga semalam itu menyaksikan persaingan dalam 10 kategori berat, melibatkan penyertaan Pegawai Kadet lelaki dan wanita.
Ia turut menjadi acara kemuncak bagi Karnival Sukan Divisyen Kadet Tahun 2025.
FOTO FB Akademi Tentera Darat