BERLIN, 9 September – Bayer Leverkusen pada Isnin mengumumkan pelantikan jurulatih dari Denmark, Kasper Hjulmand sebagai pengendali baharu pasukan menggantikan Erik ten Hag yang dipecat hanya selepas dua perlawanan Bundesliga musim ini.
Bekas jurulatih kebangsaan Denmark itu menandatangani kontrak sehingga 2027.
“Saya berasa amat berbesar hati diberi kepercayaan untuk membimbing pasukan ini,” kata Hjulmand dalam satu kenyataan.
“Saya bersemangat untuk membentuk masa depan kelab ini", jelasnya.
Pelantikan tersebut menamatkan teka-teki peminat selepas pemecatan bekas pengendali Manchester United itu pada 1 September lepas.
Ten Hag sebelum ini menggantikan Xabi Alonso, yang membawa Leverkusen mencipta sejarah menjuarai liga serta mencatatkan rekod tanpa kalah pada musim lalu sebelum berhijrah ke Real Madrid musim ini.
Hjulmand dijangka memulakan tugasan pertamanya pada perlawanan menentang Eintracht Frankfurt di laman sendiri Jumaat ini.
Beliau muncul sebagai calon utama mengatasi nama-nama besar lain termasuk bekas jurulatih Barcelona Xavi, bekas pengendali Tottenham Ange Postecoglou, serta legenda Sepanyol Raúl, yang pernah melatih skuad simpanan Real Madrid.
Jurulatih berusia 53 tahun itu meletakkan jawatan sebagai pengendali skuad kebangsaan Denmark pada Julai 2024.
Di bawah kendaliannya, Denmark mara ke separuh akhir Euro 2021 dan pusingan 16 terbaik Euro 2024.
Hjulmand pernah membimbing kelab Nordsjaelland menjuarai Liga Denmark buat kali pertama pada musim 2011-2012.
Beliau turut berpengalaman dalam Bundesliga, apabila mengendalikan Mainz pada musim 2014-2015, tetapi dipecat selepas hanya satu kemenangan dalam 13 perlawanan. - AFP
